Saturday, October 20, 2012

Buku motivasi: Ke Arah Haji Yang Mabrur

Syukur alhamdulillah, atas izin-Nya jua buku saya sudah siap, tinggal menanti hari untuk release.
Saya namakan buku motivasi kerana pendekatan penulisan yang saya gunakan adalah dengan menurunkan contoh-contoh tindakan yang boleh kita lakukan untuk meraih haji yang mabrur. Kerana itu haji yang mabrur saya takrifkan sebagai haji yang dapat mengubah sikap dan tingkah laku, dalam erti kata bahawa sah haji belum tentu mabrur kecuali sesudah sikap kita berubah serasi dengan semangat ibadah haji yang kita tunaikan.
Penulisan buku ini saya asaskan kepada tanggapan bahawa ibadah-ibadah kita, sembahyang, zakat, puasa dan haji itu ada semangatnya atau rohnya yang harus dihidupkan dalam kehidupan seharian kita. Semangat-semangat haji seperti semangat yang timbul dari iram, wukuf dan sebagainya itu harus dikenali dan dijadikan asas untuk mengubah sikap dan tingkah laku kita sekembalinya ke tanahair, dan seterusnya harus dijadikan iktibar dalam menjalani kehidupan kita, dan sebahagian besarnya boleh diterjemahkan menjadi amal soleh yang harus disempurnakan. Inilah yang menjadi lambang kemabruran haji kita.
Bila disebut amal soleh, buku ini menyediakan satu bab khas tentangnya, termasuk menjelaskan apakah yang dimaksudkan amal soleh itu kerana timbul salah faham bahawa ianya dilihat sebagai amalan-amalan yang hablumminallah sahaja, sedangkan Revolusi Rasulullah menunjukkan amalan baginda itu menckupi juga yang hablumminannas. Semuanya termuat dalam buku ini.
Kandungan buku ini secara ringkas akan dimuatkan juga dalam blog saya sebagai gambaran keseluruhan kandungan buku ini. InsyaAllah. 

No comments:

Post a Comment