Amalan Selepas Haji

Kata Prof. Dato’ Dr. Haron Din, 'Kita tahu bahawa keimanan tidak sempurna kalau tidak diikuti oleh amalan'. Mengikut petikan ini keimanan dan amalan adalah dua perkara yang berlainan. Menunaikan sembahyang, zakat, puasa dan haji itu tanda keimanan kita, yang berkait dengan ketuhanan, tetapi amalan adalah yang berkait dengan manusia dan makhluk bumi. Ramai yang bertanggapan amal soleh itu terhad kepada soal-soal ketuhanan sahaja. Jika demikian, urusan siapakah kesejahteraan bumi dan segala isinya ini? Apakah kita lupa bahawa kita sebagai khalifah yang mengurusnya, mengapa harus lari dari tanggungjawab ini? Tanggapan yang salah inilah puncanya kita yang mengaku Muslim dan sudah menunaikan haji pula tetapi kelibatnya jarang kelihatan dalam aktiviti-aktiviti keduniaan dan kemasyarakatan. Sedangkan Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan wasatiyah itu adalah keseimbangan antara soal-soal ketuhanan dengan kemanusiaan, kerohanian dengan kebendaan, ukhrawi dengan duniawi, dan berbagai lagi. Bukankah haji itu ibadah kerohanian? Yang bererti meninggalkan hal-hal kebendaan, keduniaan, kemanusiaan itu adalah perbuatan orang-orang yang tidak wasatiyah. Apakah ini yang dikehendaki oleh agama kita (Islam)? Ayat 35 surah al-Isra' menyebut, 'Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat dan timbanglah dengan neraca yang benar. Itulah yang lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya'. Jadi, sikap hidup yang baik dan terpuji adalah yang seimbang terhadap soal-soal ketuhanan dengan kemanusiaan, yang bermaksud inilah amalan kita selepas haji untuk mendapat haji yang mabrur.

No comments:

Post a Comment