Matlamat Haji

Kebanyakan kita menunaikan ibadah haji tanpa sebarang matlamat. Tidak ada tujuannya. Kerana itulah maka apa yang kita lihat ialah sekembalinya dari menunaikan haji, kebanyakannya tidak banyak berubah, kecuali cara kita berpakaian sahaja. Itupun hanya ketara ketika pergi ke masjid atau surau. Semangat hajinya tidak ketara dalam aktiviti sehariannya kerana kita bertanggapan ibadah yang satu ini hanya setakat menunaikan perintah Allah s.w.t. semata-mata. Walhal bukan itu tujuan Allah s.w.t. memerintahkan kita menunaikan haji. Tetapi ada hikmah di sebaliknya, yang Allah s.w.t. ingin kita mencapainya.
Apa ertinya kita menunaikan haji jika masih mempunyai tabiat lama. Perangai kita masih perangai lama, sikap kita juga masih sikap lama. Gaya kita, cara bergerak, cara berpakaian, tingkah laku dan perbuatan kita, cara kita bercakap dan memberi pandangan masih tidak berubah. Masih tidak merasa janggal mengulangi tabiat-tabiat lama walaupun yang mungkar. Ini adalah akibat daripada ketidaktahuan bahawa ibadah haji itu ada matlamatnya, yang akibatnya kita ke Mekah hanya untuk mencapai haji yang sah semata-mata, sambil berharap agar Allah swt memberikan yang mabrur.
Bukan saja-saja ibadah haji kita diatur sebegitu rupa, sehingga kita rasa di dalamnya ada perkara-perkara yang agak menyusahkan, menyulitkan, tetapi ada hikmah di sebaliknya. Jika kita kembali kepada al-Quran, terutama dalam surah al-Hajj itu, sepatutnya sudah cukup untuk menyedarkan kita apa yang Allah s.w.t. ingin kita mencapainya. Jadi segala susah payah, pengorbanan dan kesulitan yang terpaksa kita tempuh ketika menunaikan haji itu akan membuka mata untuk berfikir apakah hikmah di sebaliknya. Lantas kita mengambil langkah sewajarnya. Misalnya, apakah tujuan larangan-larangan yang dikenakan kepada kita ketika berihram itu? Ini yang harus kita hayati. Tetapi bagi kita yang tidak ada kefahaman tentang perkara ini, proses penghayatan ini tidak akan berlaku. Jadi ibadah haji yang sepatutnya untuk mengubah sikap kita, tidak kesampaian. Maka kita dikira gagal dalam perkemahan haji.
Contohnya, ketika dalam ihram, banyak perkara wajib-haram yang kita diminta menjaganya. Ketika itu, kita akur dan patuh dengan larangan-larangan yang ditetapkan. Maka yang wajib kita patuhi dan lakukannya, sementara yang ditegah kita elakkannya, tidak melakukannya. Iktibar dari hukum ini ialah mematuhi peraturan. Inilah yang harus kita ambil dan jadikan pengajaran, iaitu mematuhi peraturan atau undang-undang yang ditetapkan.
Inilah antara contoh pendidikan dari ibadah haji kita. Jadi sekembalinya kita dari menunaikan haji, maka harus kita kekalkan kepatuhan ini. Tinggalkan perkara-perkara yang dilarang, termasuklah yang pada zahirnya larangan itu dibuat oleh manusia, seperti dilarang meletak kenderaan di tempat-tempat tertentu, dilarang membuang sampah merata-rata, dan sebagainya. Sekadar satu dua contoh sahaja.
Mungkin ramai tidak setuju jika saya katakan bahawa antara pengajaran ibadah haji kita ialah ke arah menjaga alam sekitar! Ketahuilah di mana perkaitannya, kerana kebanyakan kita melihat amal soleh itu terbatas kepada ibadah-ibadah ritual, manakala hal-hal yang berkaitan dengan kebersihan, alam sekitar itu bukan.

No comments:

Post a Comment