Suatu Tanggapan

Bismillahhir-rahmanir-rahim.
Ibadah-ibadah kita sembahyang, zakat, puasa dan haji ada maqasidnya, ada matlamatnya yang Allah s.w.t. ingin kita mencapainya. Ianya bukan sekadar ibadah ritual sahaja, tetapi ada rohnya yang mesti dihidupkan. Malangnya ramai tidak menyedari menyebabkan ibadahnya hanya tinggal ibadah sebagai formaliti yang ritual, tidak memberi bekas dalam dirinya, dirinya tidak terdidik oleh ibadah yang dilakukannya.
Contoh, satu hukum dari bab sembahyang menyebut, ‘Makruh sembahyang di laluan’. Hukum ini asalnya bagi mencegah perbuatan mendirikan sembahyang di laluan, tetapi jika bertanggapan bahawa ibadah itu ada matlamatnya, maka hukum ini boleh membawa maksud supaya jangan membuat halangan di laluan. Jadi hukum itu tadi dikatakan ada rohnya kerana boleh diterjemahkan menjadi etika kehidupan.
Dari contoh ini bolehlah kita membuat tanggapan bahawa ibadah-ibadah itu merupakan satu proses pendidikan ke arah pembentukan sahsiah dan peribadi kita. Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menulis dalam bukunya, ‘Antara kefahaman terbaik kita terhadap ajaran agama Allah ialah apabila kita mengetahui tentang tujuan pemberian beban kewajipan yang mesti kita lakukan.’
Lebih jauh lagi beliau menyebut, ‘Semua orang sependapat bahawa hukum-hukum syariat secara menyeluruh memiliki alasan, dan juga terdapat tujuan tertentu yang ada di sebalik bentuk lahiriah hukum syariat yang harus dilaksanakan itu.’  
Kedua-dua petikan itu membuktikan bahawa ibadah-ibadah kita bukan sebagai ibadah ketuhanan semata-mata, tetapi ada matlamatnya yang Allah swt ingin kita mencapainya.

No comments:

Post a Comment