Haji Yang Mabrur

Sah haji belum tentu mabrur. Untuk mendapat yang mabrur, ada syarat yang mesti dipenuhi, atau ada sesuatu yang lain yang mesti dilakukan selepas menunaikan ibadah tersebut.
Untuk sah haji, hanya enam perkara yang mesti disempurnakan ketika melakukan ibadah haji, iaitu:
1. Ihram (berniat untuk memulakan ibadah haji dan umrah),
2. Berada di Padang Arafah pada 9 Zulkhijah, mulai daripada tergelincir matahari sampai terbit fajar 10 Zulkhijah,
3. Tawaf (mengelilingi Kaabah). Tawaf untuk haji dinamakan tawaf ifadah,
4. Saie (berlari-lari anak dari Bukit Safa ke Bukit Marwa),
5. Bercukur atau menggunting rambut, paling kurang tiga helai,
6. Tertib (dimulakan dengan 1 dan diakhiri dengan 5)
Dengan melakukan kesemua perkara ini, maka haji kita sah. Tetapi sah haji belum tentu mabrur. Mungkin ada yang mengatakan tidak mabrur kerana hajinya kurang sempurna. Ibadah haji yang sempurna adalah dengan melakukan sekali perkara-perkara yang wajib. Ya, dalam ibadah haji memang ada perkara-perkara yang menjadi rukun haji dan wajib haji. Rukun haji yang enam itu akan menentukan haji kita sah atau tidak. Tetapi perkara-perkara yang wajib dalam haji cuma dituntut menunaikannya. Jika tidak dilakukan sekalipun haji kita tetap sah, cuma perlu membayar dam atau denda.
Perkara-perkara wajib haji adalah seperti berikut:
1. Berihram di Miqat (tempat yang ditentukan dan ikut masa tertentu,
2. Menghadirkan diri di Muzdalifah selepas tengah malam iaitu pada malam Hari Raya Haji, selepas meninggalkan Arafah,
3. Melontar Jamrah Aqabah pada Hari Raya Haji, iaitu 10 Zulhijah,
4. Melontar tiga jamrah: iaitu jamrah pertama, kedua dan ketiga, menggunakan tujuh anak batu,setiap satu jamrah. Waktunya ialah selepas gelincir matahari,
5. Bermalam di Mina,
6. Tawaf wida’, iaitu tawaf pada saat-saat hendak meninggalkan Mekah,
7. Menjauhkan diri dari segala larangan atau perkara yang diharamkan semasa berihram.
Ini adalah perkara-perkara wajib haji. Kita mesti tunaikan dengan sempurna. Jika tidak ditunaikan kita akan dikenakan dam. Tetapi tidak menjadi syarat haji kita sah atau tidak. Katalah kita tidak dapat membuat yang ke-2 itu, dan tidak pula membayar dam, haji kita tetap sah. Tetapi cara itu menyebab-kan menanggung dosa kerana meninggalkan satu perkara yang wajib. Untuk membersihkan dosa kerananya, maka kita wajib membayar dam.
Katalah seseorang yang mengerjakan haji telah menyempurnakan kesemua rukun haji dan perkara-perkara wajib yang ditetapkan, ditambah pula dengan melakukan sebanyak mungkin perkara-perkara sunat, banyak membaca doa dan bertafakur ketika wukuf di Arafah atau ketika tawaf umrah sunat. Pada waktu-waktu yang lain, umpamanya ketika berada dalam masjid al-Haram, kebanyakan masa digunakan untuk membaca al-Quran, bertasbih dan berzikir. Di samping itu, dijalankan juga usaha-usaha dengan penuh hati-hati mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang dilarang semasa berihram dengan haji, seperti tidak memakai bau-bauan atau minyak rambut, tidak juga mencukur rambut atau memotong kuku, tidak membunuh binatang, tidak juga terlibat dengan hal-hal nikah kahwin. Bagi lelaki, misalnya, ketika berihram, tidak memakai pakaian yang berjahit, menutup kepala; bagi perempuan pula, tidak menutup muka dan dua tapak tangannya. Kebanyakan masa kosongnya diisi pula dengan mengerjakan umrah sunat sebanyak-banyaknya. Pendek kata daripada perkara-perkara rukun, wajib haji dan yang sunat-sunat, sampai kepada meninggalkan perkara-perkara yang dilarang, kesemuanya sudah disempurnakan, apakah sudah mendapat haji yang mabrur?
Jika sekadar itu sahaja syarat untuk mendapat haji yang mabrur, maka ramailah yang mendapatnya, kerana logiknya ramai yang mampu melaksanakan kesemua perkara tersebut. Pendek kata mereka telah membuat persediaan yang terbaik. Tidak mustahil kalau dikatakan bahawa hampir keseluruhan mereka yang pergi ke Mekah memang dapat menyempurnakan sepenuhnya. Tetapi mengapa dari seribu orang yang menunaikan haji hanya seorang dua sahaja yang mendapat haji mabrur? Kenyataan ini sering didengar dalam ceramah-ceramah dan kuliah agama.
Adakah kerana, umpamanya ramai antara mereka yang niatnya tidak suci, tidak seratur peratus untuk menunaikan haji. Misalnya, dari awal lagi niatnya ke Mekah bercampur dengan tujuan lain, seperti berdoa di hadapan Kaabah moga anak daranya cepat mendapat jodoh, agar suami atau isterinya yang lumpuh akibat stroke akan cepat sembuh. Atau lebih jauh dari itu, niatnya bercampur dengan tujuan untuk membeli barang dagangan atas kiriman orang dan sebagainya. Pendek kata pemergian mereka itu tidak seratus peratus untuk menunaikan haji. Manakan boleh mendapat haji mabrur! Tetapi berapa ramaikah yang niatnya ke Mekah bercampur baur dengan niat-niat lain seperti contoh-contoh tadi? Daripada dua puluh lapan ribu orang dari Malaysia yang ke Mekah untuk menunaikan haji, berapa ramikah yang mempunyai niat begitu? Tetapi mengapa hanya segelintir sahaja yang mendapat haji yang mabrur. Itulah yang disebutkan pada awal tadi bahawa sah haji belum tentu mabrur.
Satu riwayat yang saya baca di internet (lupa alamatnya) menyebutkan, ketika Abdullah bin Mubarak melakukan haji, beliau tertidur di Masjidil Haram, dalam tidurnya beliau bermimpi ada dua orang malaikat turun dari langit. Kedua-dua malaikat berdialog,
Malaikat 1: Berapa ramai orang-orang yang mengerjakan haji pada tahun ini?
Malaikat 2: Enam ratus ribu orang.
Malaikat 1: Antara 600,000 ribu orang yang berhaji itu berapakah yang diterima haji mereka?
Malaikat 2: Di antara 600,000 ribu itu hanya seorang sahaja hajinya diterima, namanya ialah Muwaffaq, seorang tukang kasut. Dia tinggal di Damsyik. Dia tidak dapat berhaji tetapi hajinya diterima. Maka berkat haji Muwaffaq kesemua 600,000 yang mengerjakan haji diterima.
Abdullah yang sedang tidur terkejut dari tidurnya. Tanpa membuang masa lagi, dia berangkat ke Damsyik dengan segera. Sebaik sahaja sampai di Damsyik, dia terus sahaja mencari-cari tukang kasut yang disebut dalam mimpinya. Sebaik sahaja sampai di hadapan pintu rumah tukang kasut itu, Abdullah mengetuk pintu. Muncullah seorang lelaki.
Abdullah: Apa nama saudara.
Muwaffaq: Nama saya Muwaffaq.
Abdullah: Tolong beritahu kepadaku apakah amalan yang kamu lakukan sehingga mencapai darjat yang tinggi?
Muwaffaq : Sebenarnya aku ingin menunaikan haji, tetapi oleh sebab keadaanku maka aku tidak dapat menunaikannya. Tetapi dengan tidak disangka-sangka aku mendapat wang 300 dirham dari pekerjaanku, lalu aku berniat untuk mengerjakan haji pada tahun ini. Tetapi isteriku pula sedang hamil. Suatu hari isteriku tercium bau makanan dari rumah jiranku dan ia mengidam ingin memakan makanan yang terbau itu. Aku pergi ke rumah jiranku, dan aku ketuk pintu rumahnya. Kemudian keluar seorang wanita, maka aku pun maklumkan hajat isteriku kepadanya. Lalu jiranku berkata, 'Oleh kerana kamu tidak tahu keadaanku maka tidak mengapalah aku memberitahumu. Sebenarnya anak-anak yatim di rumahku ini sudah tiga hari tidak makan, lalu aku keluar mencari makanan. Sewaktu aku mencari makanan aku bertemu dengan bangkai seekor himar, maka aku ambil sebahagiannya lalu aku masak, makanan ini adalah halal untuk kami dan haram untuk kamu.
Apabila aku dengar sahaja kata-kata wanita itu maka aku pulang ke rumah dan mengambil 300 dirham yang ada padaku lalu aku berikan kapada wanita itu dan aku katakan kepadanya : ‘Belanjakanlah wang ini untuk anak-anakmu.’
Sebelum beredar pergi, Muwaffaq berbisik dalam hatinya, menyebut Hajiku di muka pintu rumahku (rumah jiranku).
Pengertian dari riwayat ini ialah tentang keikhlasan, iaitu keikhlasan hati Muwaffaq memberi sedekah. Oleh kerana sedekahnya menggunakan wang yang dihajatkan untuk haji, menyebabkan seolah-olah dia telah menunaikan haji walaupun dia tidak ke Mekah.
Ini perpadanan pula dengan satu hukum yang menyebut bahawa jika kita sudah menunaikan haji, dan berhajat untuk pergi lagi buat kali kedua, ketiga dan seterusnya, adalah lebih baik kita sedekahkan belanja haji kita kepada orang miskin yang sangat-sangat berhajat untuk pergi. Mengikut hukum tersebut, kita akan mendapat pahala haji seperti kita pergi sendiri.
Yang hendak kita perhatikan di sini ialah tentang mendapat haji yang mabrur. Malaikat 2 menyebut, antara 600,000 orang hanya seorang yang mendapatnya. Orang itu pula tidakpun pergi ke Mekah menunaikan haji. Ini seperti menyokong kenyataan sebelumnya, iaitu daripada 1000 orang hanya seorang yang mendapat haji yang mabrur.
Umar bin al-Khattab pernah menyatakan bahawa ramai yang pergi ke Mekah hanya melancong makan angin sedangkan yang melakukan haji sedikit. Ini bermakna ramai yang mengerjakan haji tetapi sedikit sahaja yang benar-benar melakukan ibadat haji. Di sini hanya disebutkan sedikit. Maksudnya yang sedikit inilah yang mendapat haji yang mabrur. Apa sudah jadi dengan sebahagian besar yang lain.
Ust Dr Zulkifli dalam rancangan Tanyalah Ustaz bertajuk Hikmah dan Falsafah Haji di TV9 30 Oktober 2010 misalnya menyebut, mabrur bermaksud perubahan sikap. Maknanya, haji yang mabrur adalah haji yang dapat mengubah sikap. Jadi haji yang mabrur adalah yang dapat membuat perubahan sikap dari sikapnya yang sedia ada kepada sikap baru yang berkait dengan ibadah haji.
Dalam Kamus Dewan, sikap diberi erti sebagai gaya berdiri (bergerak, berpakaian, dll), atau perbuatan atau pandangan yang berdasarkan sesuatu pendapat (fikiran dll). Manakala gaya pula bermaksud sikap, kesukaan, ketaksukaan dan cara berkelakuan yang menjadi ciri seseorang. Dimasukkan juga kesajakan, keanggunan dan ketrampilan yang menarik perhatian. Dan lagi, cara jalan yang bermaksud kaedah, contoh yang disebut ialah cara menulis atau bertutur, cara membuat sesuatu iaitu cara-cara kita memberi pandangan. Kita memberi pandangan boleh dengan bertutur, menulis, melukis, menggunakan gerakbadan dan sebagainya. Perbuatan pula ialah segala yang dibuat, kerja, tindakan. Atau cara kita menggunakan anggota seperti kaki, tangan, mata, mulut dan lain-lain. Setiap pergerakan anggota ini adalah perbuatan kita. Jadi kesemua yang tersebut ini adalah sikap kita.
Apakah iktibar yang boleh kita ambil dari petikan-petikan di atas tadi yang berkait dengan usaha meraih haji yang mabrur?
Ibadah haji dikatakan sebagai ibadah puncak kerana seruan supaya kita menunaikannya hanya setelah kita menunaikan sembahyang, zakat dan puasa. Seruan menunai haji adalah yang terakhir, itupun jika mampu. Jika syahadah dikatakan sebagai ibadah hati, yang diperkuatkan dengan pengucapan dua kalimah syahadah; sembahyang pula adalah ibadah tubuh badan; kemudian zakat adalah ibadah harta. Kesemuanya adalah ibadah yang diperintahkan. Ibadah puasa pula adalah satu-satunya ibadah dalam bentuk larangan, kerana itu disebut sebagai ibadah larangan. Maka ibadah haji, sebagai ibadah puncak, adalah mencakupi kesemuanya. Jika kita amat-amati, ibadah haji adalah melibatkan hati, tubuh badan, harta dan larangan-larangan. Sebagai institusi pendidikan, haji adalah puncaknya. Jadi seorang yang sudah mengerjakan haji sepatutnya adalah mereka yang sudah mempunyai keperibadian yang tertinggi. Jadi dalam tempoh enam atau tujuh hari kita mengerjakan haji itu adalah ibarat menghadiri sesi perkhemahan untuk memperolehnya. Syaratnya, kita harus mempunyai tanggapan bahawa ibadah-ibadah kita itu ada matlamatnya yang hendak dicapai.

No comments:

Post a Comment