Tuesday, October 30, 2012

Kesederhanaan dalam Islam

Kata Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi, kesederhanaan bermaksud pertengahan antara dua pihak atau keadaan yang bertentangan. Pertengahan yang dimaksudkan ialah sikap kita tidak condong kepada salah satunya, apalagi menolaknya. Sikap kita tidak dikuasai oleh salah satunya.
Beliau menyenaraikan beberapa perkara yang yang saling bertentangan, antaranya yang menarik ialah antara soal-soal ketuhanan dengan kemanusiaan. Soal-soal ketuhanan adalah yang berkaitan dengan hubungan kita dengan Allah swt, aktiviti kita berkaitan dengan soal dosa-pahala, seperti yang berkaitan dengan sembahyang, puasa, zakat dan haji, serta rangkai-rangkaiannya yang sunat hukumnya; manakalah soal-soal kemanusiaan adalah yang berkaitan dengan manusia dan makhluk keseluruhannya. Jadi apa sahaja yang berkenaan dengan manusia dan makhluk adalah dikira kemanusiaan. Misalnya, memberi sedekah adalah untuk mengharap pahala tetapi berkaitan dengan manusia, menyiram pokok juga boleh mendatangkan pahala tetapi berkaitan dengan makhluk, seperti mana juga menjaga kebersihan diri mahupun alam sekitar, adalah berkaitan dengan makhluk, jadi adalah kemanusiaan.
Jadi, seseorang yang mengaku beriman, yang paling sempurna adalah mendukung kedua-duanya secara adil seperti yang ditakrifkan di atas, tidak melebihkan salah satunya sahaja. Mungkin lebih mudah difaham jika disebut, umpamanya, satu untuk ketuhanan, satu untuk kemanusiaan.
Mengapakah Islam menekankan persoalan keseimbangan? Antara sebabnya, kerana manusia adalah khalifah di muka bumi ini.

Thursday, October 25, 2012

Selamat i'd Adha: Semangat Qurban

Selamat menyambut hari i'd Adha, yang akan menjelang besok Jumaat 26 Okt 2012. Hari raya i'd Adha lebih dikenali sebagai Hari raya haji, dan terkenal juga sebagai Hari Raya Qurban kerana di Mina, para jemaah haji yang mampu akan membuat ibadah qurban pada 10 Zulhijah. Ibadah Qurban dilakukan dengan mengeluarkan sebahagian harta kita untuk membeli unta atau sebagainya untuk disembelih sebagai qurban. Ini adalah ibadah yang dituntut kepada mereka yang mampu. Apakah sebenarnya pengertian ibadah qurban itu?
Buku Ke Arah Haji Yang Mabrur, menyebutkan bahawa qurban adalah ibadah harta. Kita mengeluarkan sebahagian daripada harta kita (wang) untuk membeli binatang qurban. Daging qurban mesti diagih-agihkan kepada semua orang, baik yang kaya mahupun yang miskin, kerana Allah berfirman yang maksudnya, ‘Dan unta-unta itu Kami jadikan untukmu bahagian dari syiar agama Allah, kamu banyak memperoleh kebaikan padanya. Maka sebutlah nama Allah (ketika kamu menyembelih) dalam keadaan berdiri (dan kaki-kaki terlah terikat). Kemudian apabila telah rebah (mati), maka makanlah sebahagiannya dan berilah makan orang yang merasa cukup dengan apa yang ada padanya (tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami tundukkan (unta-unta itu) untukmu, agar kamu bersyukur.’ (al-Hajj 22: 36)
Yang sangat penting difahami dari ibadah ini ialah semangatnya, iaitu pengorbanan. Jadi, berqurban di sini bukanlah menyembelih binatang itu sahaja, tetapi ialah semangat qurban itu ialah sedia berkurban dengan harta untuk membantu orang miskin dan fakir walaupun dalam bulan-bulan selain bulan Zulhijjah. Inilah yang diinginkan oleh Allah s.w.t. kepada orang-orang yang melakukan ibadah qurban.
Selain daripada itu, Allah s.w.t. mengatur ibadah qurban ini bagi mengujudkan suasana kesamaan agar semua orang sama-sama bergembira. Kepada orang yang berqurban pula ini adalah asuhan bagi membuang sikap egonya, tidak peduli terhadap orang lain.
Jadi dengan ibadah qurban ini Allah ingin melihat ketakwaan hambanya, sejauh manakah keikhlasannya melakukan ibadah qurban, dan sejauh manakah kesan pendidikan terhadap dirinya. Sekembalinya ke tanahair kelak adakah hamba-Nya ini meneruskan semangat qurban dalam kehidupannya.

Saturday, October 20, 2012

Buku motivasi: Ke Arah Haji Yang Mabrur

Syukur alhamdulillah, atas izin-Nya jua buku saya sudah siap, tinggal menanti hari untuk release.
Saya namakan buku motivasi kerana pendekatan penulisan yang saya gunakan adalah dengan menurunkan contoh-contoh tindakan yang boleh kita lakukan untuk meraih haji yang mabrur. Kerana itu haji yang mabrur saya takrifkan sebagai haji yang dapat mengubah sikap dan tingkah laku, dalam erti kata bahawa sah haji belum tentu mabrur kecuali sesudah sikap kita berubah serasi dengan semangat ibadah haji yang kita tunaikan.
Penulisan buku ini saya asaskan kepada tanggapan bahawa ibadah-ibadah kita, sembahyang, zakat, puasa dan haji itu ada semangatnya atau rohnya yang harus dihidupkan dalam kehidupan seharian kita. Semangat-semangat haji seperti semangat yang timbul dari iram, wukuf dan sebagainya itu harus dikenali dan dijadikan asas untuk mengubah sikap dan tingkah laku kita sekembalinya ke tanahair, dan seterusnya harus dijadikan iktibar dalam menjalani kehidupan kita, dan sebahagian besarnya boleh diterjemahkan menjadi amal soleh yang harus disempurnakan. Inilah yang menjadi lambang kemabruran haji kita.
Bila disebut amal soleh, buku ini menyediakan satu bab khas tentangnya, termasuk menjelaskan apakah yang dimaksudkan amal soleh itu kerana timbul salah faham bahawa ianya dilihat sebagai amalan-amalan yang hablumminallah sahaja, sedangkan Revolusi Rasulullah menunjukkan amalan baginda itu menckupi juga yang hablumminannas. Semuanya termuat dalam buku ini.
Kandungan buku ini secara ringkas akan dimuatkan juga dalam blog saya sebagai gambaran keseluruhan kandungan buku ini. InsyaAllah. 

Sunday, October 14, 2012

Assalamualaikum

Maaf, blog ini dalam pembinaan.
InsyaAllah blog ini akan dimuatkan dengan maklumat tentang bagaimana cara mendapat haji yang mabrur, lebih khusus lagi ialah akan mengiklankan buku yang saya tulis mengenai tajuk Ke Arah Haji Yang Mabrur, terbitan Telaga Biru, yang besar kemungkinan akan siap dalam seminggu lagi.
Buku ini menjelaskan secara terperinci bagaimana cara mendapat haji yang mabrur. Inilah satu-satunya buku yang menjelaskan apakah yang hendak kita lakukan untuk mendapat mabrur, sekembalinya ke tanahair, kerana kemabruran haji akan dilihat selepas selesai ibadah haji di Mekah.
Sekian dahulu buat kali ini.