Thursday, October 25, 2012

Selamat i'd Adha: Semangat Qurban

Selamat menyambut hari i'd Adha, yang akan menjelang besok Jumaat 26 Okt 2012. Hari raya i'd Adha lebih dikenali sebagai Hari raya haji, dan terkenal juga sebagai Hari Raya Qurban kerana di Mina, para jemaah haji yang mampu akan membuat ibadah qurban pada 10 Zulhijah. Ibadah Qurban dilakukan dengan mengeluarkan sebahagian harta kita untuk membeli unta atau sebagainya untuk disembelih sebagai qurban. Ini adalah ibadah yang dituntut kepada mereka yang mampu. Apakah sebenarnya pengertian ibadah qurban itu?
Buku Ke Arah Haji Yang Mabrur, menyebutkan bahawa qurban adalah ibadah harta. Kita mengeluarkan sebahagian daripada harta kita (wang) untuk membeli binatang qurban. Daging qurban mesti diagih-agihkan kepada semua orang, baik yang kaya mahupun yang miskin, kerana Allah berfirman yang maksudnya, ‘Dan unta-unta itu Kami jadikan untukmu bahagian dari syiar agama Allah, kamu banyak memperoleh kebaikan padanya. Maka sebutlah nama Allah (ketika kamu menyembelih) dalam keadaan berdiri (dan kaki-kaki terlah terikat). Kemudian apabila telah rebah (mati), maka makanlah sebahagiannya dan berilah makan orang yang merasa cukup dengan apa yang ada padanya (tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami tundukkan (unta-unta itu) untukmu, agar kamu bersyukur.’ (al-Hajj 22: 36)
Yang sangat penting difahami dari ibadah ini ialah semangatnya, iaitu pengorbanan. Jadi, berqurban di sini bukanlah menyembelih binatang itu sahaja, tetapi ialah semangat qurban itu ialah sedia berkurban dengan harta untuk membantu orang miskin dan fakir walaupun dalam bulan-bulan selain bulan Zulhijjah. Inilah yang diinginkan oleh Allah s.w.t. kepada orang-orang yang melakukan ibadah qurban.
Selain daripada itu, Allah s.w.t. mengatur ibadah qurban ini bagi mengujudkan suasana kesamaan agar semua orang sama-sama bergembira. Kepada orang yang berqurban pula ini adalah asuhan bagi membuang sikap egonya, tidak peduli terhadap orang lain.
Jadi dengan ibadah qurban ini Allah ingin melihat ketakwaan hambanya, sejauh manakah keikhlasannya melakukan ibadah qurban, dan sejauh manakah kesan pendidikan terhadap dirinya. Sekembalinya ke tanahair kelak adakah hamba-Nya ini meneruskan semangat qurban dalam kehidupannya.

No comments:

Post a Comment