Sunday, November 11, 2012

Ibadah haji adalah proses mengubah sikap

Menunaikan haji adalah ibarat menghadiri perkhemahan, yang kurikulumnya adalah ke arah mengubah sikap, dari sikap yang sedia ada kepada satu sikap baru. Mungkin boleh dibandingkan dengan proses latihan dengan sesebuah institusi. Misalnya, seseorang yang hendak menjadi guru, harus melalui satu proses latihan di institusi pendidikan guru (IPG).
Di IPG inilah seseorang awam menjalani latihan sepadu bermula dengan teori-teori pendidikan dan sebagainya, kemudian pada tahap terakhirnya ialah latihan praktikum di sekolah-sekolah. Setelah lulus, akan diiktiraf sebagai seorang guru. Lantas itulah hasilnya, dia adalah seorang guru, yang tugasnya adalah di sekolah, dan sepanjang hidupnya juga menjalankan rutinnya sebagai seorang guru sehingga bersara.
Sebagai guru, watak dan sikapnya adalah sebagai seorang guru: cara hidupnya, semangatnya dan wataknya dan sebagainya adalah sebagai seorang guru. Tugasnya yang utama adalah keluar masuk kelas, mendidik, dan membangun anak muridnya, menyemak buku latihan; masanya juga ditentukan mengikut hari-hari persekolahan.
Seseorang guru yang tidak menjalankan tugas seperti yang tersebut, bukanlah guru lagi. Atau seorang guru yang sering meninggalkan tugas dan melakukan kerja-kerja lain yang bukan rutinnya bukanlah guru lagi. Kalau aktivitinya lebih mirip kepada perniagaan maka dia adalah seorang peniaga, bukan guru. Dengan kata lain, titel guru sudah terlucut dari dirinya.
Ibadah haji adalah proses mengubah seseorang dari seorang awam kepada seorang haji. Prosesnya melalui peringkat-peringkat berihram, wukuf, tawaf, saie dan bercukur. Ini adalah latihan praktikal yang terorinya diajar ketika menghadiri kursus haji sebelum bertolak ke tanah suci Mekah. Selesai menunaikan haji, maka ia pun bergelar haji. Bagaimanakah kehidupannya selepas itu?
Seperti guru tadi, jika sikap dan tingkah lakunya sejajar dengan latihan ketika di Mekah maka ia adalah seorang haji dalam erti yang sebenar-benarnya, tetapi jika tidak maka hanya titel haji sahaja yang tinggal. Watak sebagai haji sudah luntur. Jadi yang manakah yang mabrur?

No comments:

Post a Comment

Post a Comment